Oleh:
“Tiadalah Kami mengutus engkau (wahai Muhammad)
melainkan untuk menjadi Rahmat bagi sekalian alam.” (Quran s. al-
Anbiya : 107)
Peribadi Nabi Mohammad s.a.w. sungguh menarik hati
seluruh manusia yang mengakui kebenaran, keperibadian Rasulallah jelas
diterangkan dalam al-Quran antaranya Allah berfirman yang bermaksud:
“Maka disebabkan rahmat dari Allah (kepadamu
Muhammad s.a.w) , engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka. Kalaulah
engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka akan menjauhkan diri
dari kamu. Oleh itu ma’afkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan
terhadap engkau, dan mohonlah keampunan bagi mereka, dan juga bermusyawarahlah
dengan mereka dalam urusan (permasaalahan keduniaan) itu. Kemudian setelah
engkau berazam (untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah.
Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertawakkal kepadaNya. (al-Quran s. Ali
Imran: 159)
Ini salah satu sifat terpuji dari peribadi Nabi
Muhammad s.a.w. diantara banyak lagi sifat terpuji yang dimiliki oleh
Rasulallah s.a.w., sehingga menyebabkan baginda Nabi s.a.w. telah dapat membawa
suatu perubahan yang luar biasa terhadap masyarakat ummat manusia, khasnya
masyarakat Arab di zaman jahiliah .
Sebelum Islam, Dunia berada dalam kegelapan,
terutama sekali dunia Arab. Penyembahan kepada Tuhan yang Maha Esa,
telah bertukar kepada penyembahan kepada berhala yang mereka ciptakan sendiri.
Perikemanusiaan telah bertukar kepada sifat-sifat kebinatangan; yang kuat
menindas yang lemah, yang kaya memeras yang miskin, wanita dijadikan sebagai
alat pemuas nafsu ataupun sebagai iklan untuk melariskan perniagaan, jika lahir
anak lelaki mereka sungguh gembira, akan tetapi jika lahir perempuan mereka
sampai hati membunuhnya. Ramai pula mereka yang mengamalkan cinta sesama
sejenis, lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan, kalau ini terus
dibenarkan apa akan jadi terhadap ummat manusia didunia ini, sudah tentu mereka
akan pupus, keturunan mereka akan terputus, inilah yang telah diamalkan
oleh kaum Luth.
Sebelum Islam Dunia Arab berpecah belah, Yaman
dikuasai oleh Kerajaan Persia, dan Habasyah, disamping dikuasai oleh
ketua-ketua kabilah. Iraq dikuasai oleh Manazirah yang tunduk kepada kerajaan
Romawi. Najd dan Hijaz dikuasai oleh kabilah Arab yang masing-masing berdiri
sendiri. Perpecahan dan permusuhan diantara mereka berlarutan beratus tahun,
sehingga bangsa Arab mundur dalam banyak hal.
Setelah Islam dibawah pimpinan Nabi Muhammad
s.a.w. bangsa Arab telah disatukan, dibawah satu pimpinan. Mereka menjadi
Ummat yang maju dalam berbagai bidang, malah dapat mengalahkan dua kerajaan
besar Rome dan Parsi. Selanjutnya para sahabat telah mengembangkan Islam
kemerata tempat di dunia ini.
Ummat Islam telah membawa perubahan
besar di Timur ataupun di Barat. Amat menyedihkan setelah Ummat Islam
meninggalkan ajaran Islam yang menyeru kepada kebenaran dan keadilan, dan
mereka terikut-ikut hanyut dalam kancah bertuhankan hawa nafsu, maka
semenjak itu ummat Islam menjadi lemah, mereka dapat dikalahkan oleh
musuh-musuh Islam, sehingga meskipun jumlah Ummat Islam melebihi
seperlima penduduk dunia, dan memiliki jumlah sumber kekayaan yang
melimpah ruah, tetapi semua itu tidak membawa manfaat apa-apa. Malah
ummat Islam dipermainkan, dihina, ditindas. Semua ini terjadi
karena kesalahan Ummat Islam sendiri, oleh itu telah tiba masanya
seluruh Ummat Islam kembali kepada al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. Insya Allah
Ummat Islam akan memperoleh kemuliaan dan kesejahteraan yang telah pernah
mereka miliki di zaman Rasullah s.a.w. dan para sahabatnya yang terpilih, Insya
Allah.
Rasulallah s.a.w.adalah contoh teladan yang
sebaik-baiknya bagi kita, dalam semua hal, sebab nabi s.a.w. telah
berjaya membawa perubahan yang luar biasa dalam semua bidang dalam masa yang
begitu singkat (hanya 23 tahun).
Baginda telah berjaya merubah masyarakat
musyrikin, yang menyembah berhala, berpecah belah, bersuku puak, zalim, yang
kuat menindas yang lemah, yang kaya memeras yang miskin, yang pandai menipu
yang bodoh bahkan bertebaran kejahatan di daratan dan di lautan disebabkan amal
perbuatan mereka.
Semuanya itu telah dirobah, menjadi masyarakat
yang hanya menyembah Allah s.w.t. Masyarakat yang berpecah belah, bersuku puak,
telah dipersaudarakan menjadi satu masyarakat yang bersatu padu.
Masyarakat yang zalim, menjadi masyarakat yang
harmonis dimana si lemah dilindungi, si miskin dibela nasib mereka, wanita
mendapat hak-hak mereka yang sebelumnya mereka tak punya nilai, hanya sebagai
alat untuk pemuas nafsu lelaki sahaja, malah mereka dibunuh hidup-hidup.
Ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi s.a.w.dari sehari ke sehari terus mendapat
sambutan dari orang ramai. Pimpinan Quraisy semakin khuatir, kepimpinan mereka
akan beralih kepada kepimpinan Nabi s.a.w. Oleh itu mereka bekerja keras untuk
menghalang perkembangan Islam dengan berbagai cara. Tetapi semua usaha
mereka yang jahat itu tak dapat menyekat usaha gigih Nabi s.a.w. dan
pengikutnya yang setia. Melihat kegagalan demi kegagalan yang mereka alami,
maka pihak penguasa Quraisy, mulai berlembut dan mengajak bekerjasama untuk
menghilangkan segala perbedaan yang ada.
Sebagai permulaan mereka sanggup menyembah Allah
s.w.t. di satu masa dan di lain masa pula nabi s.a.w. dan ummat Islam diminta
menyembah berhala yang mereka ciptakan. Semua ajakan tolak ansur yang
menyesatkan ini, juga ditegah untuk diamalkan.
Kita dilarang keras menyembah makhluk, sama ada
(apakah) dia berhala, manusia, ataupun hewan dsb.
Allah s.w.t.berfirman yang bermaksud: "Katakanlah
(wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir. Aku tidak akan menyembah
apa yang kamu sembah, dan kamu tidak menyembah apa yang aku sembah. Aku tak
pernah menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu pula tidak pernah menyembah apa
yang aku sembah. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku." (Q.S.al-Kaafirun:1-6)
Inilah suara Iman dan Tauhid yang sebenarnya. Kita
dilarang keras menyengutukan Allah dengan apapun juga. Semua dosa Allah
akan ampunkan kecuali dosa mensyarikatkan (menyengutukan) Allah,
tidak akan diampunkan oleh Allah s.w.t.
Pemimpin Quraisy menjadi berang, mereka berusaha
pula mengadakan berbagai tekanan yang lainnya, yang kemuncaknya dengan
mengambil suatu keputusan bersama, untuk memulaukan Nabi s.a.w.dan para
pengikutnya yang setia, supaya nabi s.a.w. dan pengikutnya menjadi lemah dan
menyerah kalah. Pimpinan Quraisy mengadakan pertemuan dan mengambil suatu
keputusan bertulis, dan digantungkan di ka'bah, sebagai satu keputusan
yang mesti dilaksanakan dan dipatuhi oleh semua suku Quraisy untuk
memulaukan Nabi s.a.w. dan kaum beliau Bani Hasyim, antaranya isi dari
keputusan itu ialah:
(1) Melarang semua orang Quraisy berurusan
perniagaan dengan Nabi dan pengikut Nabi s.a.w. terutama bani Hashim dan
bani Muthalib.
(2) Tidak boleh mengadakan ikatan pernikahan
dengan kaum Muslimin.
(3) Melarang sesiapapun untuk bergaul dengan
Muhammad dan pengikutnya.
(4) Pihak Quraisy akan bekerjasama dan membantu
sesiapa yang sedia memusuhi Muhammad dan pengikutnya.
Teks perjanjian itu disahkan oleh semua pemuka
Quraisy dan dilaksanakan dengan tegas.
Abu Thalib bapa saudara nabi s.a.w. sebagai
pendukung dan pembela utama Nabi s.a.w. menjemput semua kerabat nabi s.a.w.dari
keturunan Bani Hasyim, dan meminta mereka supaya bertanggung jawab dan membela
Nabi s.a.w.Semua kerabat Nabi s.a.w. daripada kalangan Bani Hasyim
diarahkan berkumpul di sebuah lembah gersang, yang terkenal dengan nama lembah
Abu Thalib. Pemulauan ini berjalan selama tiga tahun. Kezaliman yang diluar
perikemanusiaan ini, terpaksa ditangggung oleh semua keluarga Bani Hasyim,
dalam suasana kekurangan makanan dan minuman, sehingga ada yang terpaksa
memakan umbut-umbut rumput, kulit binatang, dan sebagainya demi mengisi perut yang
sedang dalam kelaparan.
Setamatnya pemulaun Quraisy terhadap Nabi s.a.w.
dan suku kaum Nabi yaitu Bani Hasyim dan Bani Muthalib, baginda Nabi
Muhammad s.a.w. tidak menghentikan dakwahnya, malah Nabi meneruskan
perjuangannya mengajak manusia ke jalan yang benar.
Pada suatu masa, Nabi pergi ke Thaif
mengajak kaum shakif kepada Islam, sayang sekali seruan Nabi s.a.w. dibalas
dengan ejekan dan lemparan batu oleh kaum durhaka disitu sehingga darah
bercucuran ditubuh Nabi s.a.w. akibat lemparan batu dan benda-benda keras lainnya.
Meskipun demikian Nabi s.a.w hanya berdoa :“Ya Allah berilah petunjuk kepada
kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengetahuinya”
Berkat kesabaran dan usaha yang gigih dalam
perjuangan, maka hati manusia mulai terbuka kepada Islam, terutama mereka yang
telah dianiaya dan dizalimi. Mereka memeluk Islam, dan mengamalkan ajaran Islam
yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. Mereka tertarik terutama kepada
keperibadian Nabi s.a.w. yang sederhana suka membantu fakir miskin, yatim
piatu dan janda, mengasihi mereka yang lemah, sedia memaafkan musuh,
membenci keganasan, cintakan ilmu pengetahuan, sehingga dalam masa
yang singkat (23 tahun) Islam berkembang dengan pesatnya keseluruh
semenanjung tanah Arab.
Nabi s.a.w. begitu kasihkan isterinya Siti
Khadijah, sehingga baginda hidup rukun dan damai dengan isterinya Khadijah
hingga isterinya wafat, yaitu selama 28 tahun isteri nabi hanya Kadijah seorang
sahaja. Nabi s.a.w berkahwin lain setelah wafatnya Siti Khatijah. Dikalangan
isteri baru Nabi s.a.w, yang gadis hanya siti Aisyah seorang. Kebanyakan
yang lainnya terdiri para janda untuk menyelamatkan anak-anak yatim, yang
menjadi tanggungan mereka, dan perkawinan Nabi selanjutnya juga untuk menarik
kabilah-kabilah ke dalam Islam.
Quraisy Melanggar Perjanjian Hudaibiya
Ketika Quraisy melanggar perjanjian dengan
Nabi s.a.w. dimana sekutu mereka Banu Bakr telah menyerang
dan membunuh pihak Khuza’a , maka pihak Khuza’a meminta pertolongan Nabi
s.a.w. Maka Nabi s.a.w. bersama 10,000 orang tentera Islam berangkat untuk
melancarkan serangan balasan keatas kaum Quraisy di Makkah. Sebelumnya memasuki
kota Makkah terlebih dahulu Nabi Muhammad s.a.w. memberi nasihat kepada
tentera Islam, supaya tidak membunuh orang tua, wanita, kanak-kanak, tidak
menceroboh dan merosakkan tanaman, tidak membunuh haiwan, untuk tidak
sampai banyak kerosakan. Nabi juga menyeru barangsiapa menutup
pintu rumah masing-masing mereka akan selamat, barangsiapa berlindung di Kabah
ia akan selamat, malah setelah Abbu Sufyan (Ketua kaum Quraisy) masuk Islam,
nabi s.a.w. juga memberi kesempatan barangsiapa berlindung di rumah Abu
Sufyan juga dijamin keselamatannya.
Sementara dalam persiapan peperangan
tiba-tiba Saad bin “Ubada berkata :”Hari ini adalah hari peperangan, hari
dibolehkannya segala yang terlarang…..’
Hal ini telah melanggar perintah Nabi s.a.w.
dimana kaum Muslimin dilarang membunuh penduduk Makkah. Oleh karena itu
Nabi mengambil bendera komando dari tangan Sa’ad dan diserahkan
kepada anaknya yang bernama Qais, terselamatlah penduduk Makkah dari
menjadi korban peperangan, dengan demikian kota Makkah telah dapat
dikuasai dengan menyelamatkan ramai nyawa mereka yang tidak bersalah.
Bukan itu saja malah Nabi s.a.w. telah memberikan pengampunan Umum, termasuk
mereka yang telah banyak berbuat kesalahan dan kezaliman dan penganiayaan
kepada nabi dan pengikutnya. Nabi s.a.w. mengatakan, “Pergilah kamu sekaliah. Kamu sekarang sudah
bebas.”
Setelah memasuki kota Makkah Nabi Muhammad s.a.w.
mengeluarkan perintah jangan ada seorangpun dibunuh, jangan ada pertumpahan
darah. Mereka yang telah melakukan banyak kesalahan dan khuatir dibunuh,
lalu menyembunyikan diri mereka, akan tetapi akhirnya keluar juga setelah
menyaksikan sendiri betapa kasih sayang Nabi s.a.w. yang telah mengampun secara
beramai-ramai, akhirnya mereka keluar dan datang kepada Nabi s.a.w. memohon
supaya dimaafkan, dan Nabi s.a.w. memaafkannya.
Ramai manusia terkeliru terhadap Islam disebabkan
mereka tidak mengenal Islam, dan ramai yang melemparkan tuduhan keji kepada
Nabi Muhammad s.a.w., disebabkan mereka tidak mengenal siapa baginda.
Akan tetap bagi mereka yang mahu mengkaji Riwayat hidup Nabi Muhammad
s.a.w. akan mengakui tentang betapa tingginya keperibadian Nabi s.a.w.
sehinggakan Ummat Islam sanggup mengorbankan apa saja demi kecintaan
mereka kepada Nabi Muhammad s.a.w.